Pembomohan Tanda Putus Asa Dengan Tuhan


Baru-baru ini Malaysia bagaikan artis popular seketika. Bukan sekadar  disebabkan isu kehilangan pesawat MH 370 sahaja, tapi pengamalan yang tidak berlandaskan syara’ (pembomohan) juga mendapat liputan media secara meluas bahkan ini lebih memalukan kerana kebanyakan media membuat liputan terhadap peristiwa ini dalam nada sarcasm dek kerana Malaysia adalah negara Islam tetapi tidak membenarkan pegangan tersebut dalam setiap urusannya.

Aktiviti pembomohan atau mempercayai dukun ini adalah terlarang sebagai mana yang disebutkan oleh baginda s.a.w:
“Barangsiapa yang mendatangi dukun lalu dia bertanya kepadanya tentang suatu hal, maka shalatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.” (HR. Muslim no. 2230)[i]



Dalam hadis yang lain baginda s.a.w menyebutkan:
“Barangsiapa yang mendatangi dukun atau peramal kemudian membenarkan apa yang dia katakan, atau mendatangi isterinya dalam keadaan haid atau dari arah belakang (dubur) maka dia telah kafir terhadap apa (Al-Qur`an) yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w.” (Hadis sahih dalam kitab Sahih al-Jami’ oleh al-Bani)[ii]
Larangan-larangan dalam dua hadis ini ditambah dengan disebutkan akibat terhadap mengamalkannya menjadi sebab perbuatan ini ditolak. Justeru itu pengamalan ini perlulah dijauhi dalam segenap lapisan masyarakat supaya ia tidak dianggap biasa meskipun ia diwarisi oleh orang-orang yang terdahulu sebelum kita.

Dalam kes yang berlaku di tanah air kita, kes ini menjadi lebih berat kerana bukan sekadar cara yang bercanggah dengan syara’ bahkan menjadi fitnah terhadap islam itu sendiri. Masyarakat bukan muslim diluar negara hatta dalam negara sendiri akan memandang sinis kerana beranggapan ia bukan cara yang betul bahkan menampak islam itu lemah. Justeru, fitnah ini lebih besar kerana ia menjauhkan ramai manusia dari cahaya hidayah.

Selain itu, kalimah Allah yang digunakan boleh mengelirukan hatta kepada orang islam sendiri jika ia tidak berlandaskan kaedah yang betul, bahkan lafaz yang agung itu seolah menjadi permainan dan hilang kehebatannya. Lebih binasa apabila orang bukan islam terfitnah dengan kalimah tersebut kerana digunakan dalam situasi (ritual) yang bercanggahan dengan kebenaran Islam itu sendiri.



Beza jampi serapah dan ruqyah syar’iyah

Kata Imam Hassan Al-Banna[iii]:

Tangkal, azimat, al-wad’ (sesuatu yang diambil dari laut seperti kulit kerang),al-raml (pasir atau bahan jampian), al-ma’rifah (mengetahui sesuatu perkara dengan tanda-tanda awal), kihanah (pemberitahuan tentang perkara-perkara ghaib pada masa akan datang) dan dakwaan mengetahui perkara ghaib dan perkara-perkara yang tergolong di dalam perkara ini merupakan perkara mungkar yang wajib diperangi melainkan jampi-jampi dari ayat Al-Quran atau jampi yang datang dari baginda s.a.w.



Kemungkinan ramai yang terkeliru akan perbezaan jampi serapah dan juga ruqyah syar’iyah (yang berlandaskan syara’) kerana kadang-kadang jampi-jampi ini juga menggunakan ayat-ayat al-quran. Justeru itu, ulama’ meletakkan kaedah asas bagi jampi itu adalah mempunyai sandaran daripada al-Quran dan hadis yang sahih di samping perlulah dibaca dalam bacaan yang jelas bukan sekadar kumat-kamit di bibir.

Selain itu, ia juga bukanlah jampi yang menggunakan bahan-bahan jampian seperti kemenyan dan sebagainya atau alat-alat tertentu seperti tangkal dan lain-lain kecuali air kerana ia terdapat dalam hadis bahawa nabi s.a.w pernah berbuat demikian. Ia juga bukanlah pemberitahuan tentang sesuatu yang ghaib atau ramalan tentang peristiwa akan datang. Sedangkan baginda s.a.w sendiri tidak mengetahui sesuatu yang ghaib kecuali yang dikhabarkan kepada baginda. Allah s.w.t berfirman:

Katakanlah (Muhammad s.a.w)  Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati). [An-Naml: 65]



Hidup soal percaya

Kehidupan ini soal percaya. Sebagaimana perhubungan antara rakan-rakan, perhubungan antara suami dan isteri, perhubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat menuntut kepercayaan daripada semua pihak, lebih lagi perkara yang melibatkan seorang hamba dan tuhannya kerana Allah lebih mengetahui apa yang hamba-Nya perlukan dan terbaik untuk kita dan tidak pernah menzalimi sesiapa.

Dalam hadis qudsi, Allah s.w.t menyebutkan melalui kalam baginda s.a.w daripada Sahl bin Saad[iv]:

Aku dalam sangkaan hamba-Ku terhadap Aku sama ada sangkaan yang baik atau buruk. [Sahih Ibn Hibban]
Kehidupan yang tidak lari daripada ujian ini menuntut kepercayaan total terhadap Allah s.w.t. Jika kita beranggapan ujian yang datang sebagai suatu bentuk bebanan hingga kita bersangka buruk kepada Allah, maka kita sendiri yang rugi walhal tiada kekurangan bagi kerajaan Allah. Oleh itu , senantiasalah meluruskan sangkaan kita terhadap Allah s.w.t kerana manfaatnya adalah kepada kita.

Selain itu, Dia juga telah menghamparkan kepada manusia segala bentuk kenikmatan dan cara untuk kita melepasi segala ujian. Jika manusia itu, tidak menjumpainya tidak lain dan tidak bukan Dia berkehendakkan agar setiap insan itu kembali mengingatinya kerana apa jua langkah yang adalah hanyalah penyebab tetapi Allah s.w.t yang mengizinkannya.

Justeru itu, jika seseorang itu mencari penyelesaian selain kembali kepada Allah s.w.t, setelah berusaha dengan sebab-sebab yang ada tidakkah ia menunjukkan putus asa dia dengan Allah?

Seseolah ada jalan lain lebih baik daripada mengharap kepada Allah?
Atau lebih bahaya seakan mempercayai ada kuasa yang lebih hebat dari-Nya?

Bahkan tidak ada sesuatupun yang bisa menyamainya. Dengan sebab itu, mereka yang meletakkan setinggi-tinggi pengharapan dan kepercayaan kepada Allah tanpa menafikan usaha adalah mereka yang menuju jalan kejayaan kerana manusia itu sampai kepada suatu tahap maka kudratnya tidak mampu untuk berbuat apa-apa.



Kesimpulan: Malu?

Tidak dinafikan perbuatan ini memalukan ramai pihak dan memberi impak negatif bagi orang bukan Islam terhadap keaslian Islam itu sendiri dalam rangka mereka ingin mengenal islam. Justeru, pihak berwajib perlu segera dalam menangani isu ini.

Cuma perlu juga kita sama-sama koreksi diri kita. Kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang berkaitan adalah tetap salah dan perlu dibaiki. Bagusnya kesalahan itu nampak secara zahir dan bisa dicegah. Tetapi kesalahan diri kita sendiri kadang-kadang menyebabkan orang lain memandang Islam itu sebagai mundur  dengan tidak bersungguh dalam ibadah, tidak menjaga akhlak dan tingkah laku kita yang juga menyebabkan Islam itu difitnah pula bagaimana?

Perbaiki diri dan seru orang lain!


0 Komen :

Pembentukan Pemuda Menjauhi Budaya Hedonisme


Dewasa kini budaya hedonisme semakin berleluasa dalam masyarakat kita. Saat manusia lain ditimpa musibah dan kecelakaan, masih saja lagi sebahagian golongan yang bukan saja tidak mengambil erti dan iktibar bahkan berterusan dengan agenda kemaksiatan. Sememangnya sesuatu peristiwa yang berlaku itu kadang-kadang tiada kaitan langsung dengan kehidupan kita.

Tetapi bagi manusia yang mempunyai  hati tambah lagi yang beriman akan beranggapan segala yang Allah beri berupa nikmat itu walaupun untuk orang lain adalah untuk kita bersyukur dan apa yang Dia beri berupa ujian dan musibah meskipun bukan pada diri kita adalah untuk kita ambil pengajaran dan renungan kerana mungkin itu suatu peringatan buat diri kita yang masih lagi diberi kesempatan nyawa dan masa.

Malangnya, sesetengah pihak masih tidakmengendahkan peringatan ini. Lebih mengecewakan ia terdiri daripada golongan pemuda yang mana disandarkan kepada mereka harapan untuk negara ini. Harapan untuk agama yang suci.

Justeru, bagaimanakah fenomena ini bisa diperbaiki?

Apakah ciri-ciri mahasiswa yang dikehendaki untuk kebaikan bagi setiap generasi?

Apakah ada contoh efisen yang bisa diteladani untuk membangunkan generasi dewasa ini?



Pemuda-pemuda pemelihara iman

Mungkin sebahagian daripada kita biasa melazimi pembacaan surah al-Kahfi pada pagi hari Jumaat. Namun menjadi satu kerugian jika kita tidak cuba mendekati al-Quran dengan lebih mendalam dengan berusaha membaca kisah-kisah yang terdapat dalamnya terutama kisah pemuda-pemuda al-Kahfi yang teruji iman mereka. Pun begitu mereka tetap dengan pendirian bahawa Allah sahaja Tuhan yang Esa.

Allah s.w.t berfirman:

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? [al-Kahfi:9]

Terdapat pelbagai riwayat yang menyebutkan tentan Ar-Raqim dalam ayat di atas. Sebahagian mufassirin (ahli tafsir) menyatakan ia adalah nama bukit tersebut dan terdapat padanya al-kahf yakni gua. Ada berpendapat bahawa ia adalah batu yang mana terukir nama-nama pemuda yang soleh ini. Namun apa yang lebih penting ayat ini menggambarkan kekuasaan Allah dan bukti bahawasanya Dia mampu mencipta apa sahaja lebih lagi hanya menghidupkan semula barang yang sedia ada.

Ayat ini juga sebenarnya memberi sindiran kepada manusia yang hanya beriman dengan keajaiban. Apabila sesuatu perkara yang berlaku diluar akal manusia, baru hendak memenuhi iman dalam dada. Walhal jika manusia melihat penciptaan langit dan bumi atau lihat pada diri kita sendiri sudah banyak bukti kekuasaan Allah s.w.t. Tapi tabiat manusia itu sememangnya begitu bahkan lebih dahsyat adalah mereka yang melihat keajaiban namun masih tidak mahu beriman. Seumpama yahudi yang melihat terbelahnya laut merah namun hanya beriman dalam tempoh seketika. Kemudian berbalik semula kepada kepercayaan asal mereka mensyirikkan Allah dengan berhala.

Berbalik kepada kisah pemuda-pemuda ini, mungkin ada dalam kalangan kita tertanya-tanya mengapakah pemuda-pemuda ini menyembunyikan diri ke dalam gua?

Tidakkah mereka patut berusaha menyebarkan dakwah kepada masyarakat sekeliling?

Di sini, ada pengajaran yang bisa kita teladan. Tidak dinafikan semangat orang muda dalam membuat banyak perkara sama ada berkaitan dengan dakwah, organisasi persatuan amat memberangsangkan. Tetapi semangat ini perlulah selari dengan kerelevanan suasana, tempat dan masa yang betul.

Ketika itu, pemuda al-Kahfi membuat pilihan terbaik untuk kepentingan dakwah dan kelangsungan iman mereka menepati tiga aspek di atas (suasana,tempat,masa).Mereka tidak lari dari realiti kerana ketika itu raja yang memerintah negara tersebut sering bertindak zalim terutama mereka yang beriman kepada Allah.Tambahan, rakyatnya memberi sokongan yang baik atas usaha raja tersebut.

Oleh sebab itu, dicelah kerosakan yang mana tidak sesuai di dalamnya penyebaran dakwah ditambah tiada golongan berilmu yang memberi sokongan untuk mendidik masyarakat, maka menyembunyikan diri buat mereka jalan yang terbaik kerana dikhuatiri mereka juga akan tergoda dengan rayuan orang sekeliling sejurus memutuskan rantai keimanan generasi tersebut kepada Allah.

Realiti hari ini, menyembunyikan diri tidak lagi sesuai ditambah ditengah-tengah masyarakat yang dahagakan didikan (tarbiyah) yang sempurna.Namun, berjaga-jaga dan menilai sesuatu perkara itu perlu dilakukan  supaya konsep kerahsiaan yang jika diketahui umum lebih membahayakan. Pada nilaian setiap aspek yang betul itu perlu diambil pengajaran agar usaha kita tidak hanya sekerat Cuma akibat halangan dari mana-mana pihak tetapi bisa memberi impak yang terbaik kepada masyarakat.



Pemuda-pemuda pilihan

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.[al-Kahfi:10]

Dalam ayat di atas disebutkan perkataan yang mengkhususkan kepada ‘pemuda’ yang merujuk kepada tahap umur mereka pada ketika itu.Apa yang menariknya, dalam lembaran sejarah begitu sinonim dikaitkan bahawa pemuda merupakan golongan yang sering bersungguh dan memberi sokongan yang hebat terhadap penyebaran dakwah islam hinggakan pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda memerintahkan untuk berbuat baik pada golongan ini (pemuda) bertepatan dengan bantuan yang mereka hulurkan dari sudut harta, tenaga bahkan nyawa.

Tetapi tidak bermakna golongan pemuda ini tiada kesilapan bahkan mungkin lebih banyak disebabkan kurangnya pengalaman dan kurang berhati-hati dalam melaksanakan tugasan. Maka benar prasa kata yang menggambarkan kestabilan antara generasi muda dan orang-orang lama iaitu “Hikmah orang tua pada kesungguhan para pemuda”.Orang-orang lama kaya dengan pengalaman, orang muda kaya dengan tenaga dan buah fikiran yang mengimbangi perjalanan sesuatu urusan disamping dapat memelihara kesinambungan perkara positif yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu.

Tambahan pula, golongan muda terbiasa dengan idea baru dan corak pergerakan yang baru berbanding golongan lama yang lebih suka static dengan pegangan yang lama.Mungkin disebabkan itu, mereka (golongan pemerintah ketika itu) sukar menerima dakwah pemuda-pemuda ini (ashabul kahfi) dan akhirnya Allah memilih golongan pemuda sebagai penjaga agama-Nya ketika itu.

Suatu perkara yang penting dalam ayat ini adalah keazaman para pemuda ini untuk tetap teguh beriman dan akhirnya meletakkan tawakkal sebagai penyempurnaan urusan.Contoh ini sangat baik diambil iktibar bahawa, keimanan yang utuh yang membawa manusia itu berjaya ditambah dengan bekal tawakkal  yang memandu segala usaha itu beroleh petunjuk.



Ciri-ciri pemuda kahfi yang perlu dicontohi

Pada mereka ini (pemuda al-kahfi) ada contoh teladan yang baik boleh kita ikuti. Namun, lebih menarik ia dikaitkan dalam konteks realiti mahasiswa kerana mempunyai persamaan dari sudut peringkat umur. Bahkan ia adalah ciri utama mereka terpilih sebagai golongan istimewa yang terlakar dalam kitab-Nya. Allah merakamkan ciri-ciri mereka dalam ayat al-Quran seperti firman-Nya:

sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.{13} Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) {14} [al-kahfi:13-14]



Memilih untuk beriman 
Hakikat kehidupan adalah suatu pilihan.Pada setiap sedutan dan hela nafas manusia, kita diberi peluang membuat pilihan.Jalan kebaikan atau keburukan. Memilih beriman tidak sama dengan beriman kerana ia sebuah pilihan. Pada saat iman teruji, suasana pula menentang, ditambah kekangan dari kuasa yang lebih kuat (raja), namun jiwa pemuda-pemuda ini tiada gentar untuk memilih Allah dan Rasul sebagai pedoman.

Kata kunci yang dapat kita jadikan iktibar di sini adalah pilihan, semestinya yang mendatangkan kebaikan. Dalam membuat keputusan apa sekalipun perlu kita nilai dengan telus dari segenap aspek. Jangan gopoh kerna jiwa remaja terbiasa untuk cepat dalam menimbang banyak perkara.Pilihan yang terbaik adalah apa yang syara’ kata baik dan sebaliknya.

Berkenaan dengan pilihan juga ia bukan sekadar satu perbuatan statik tanpa ada perkembangan. Pilihan perlu selari dengan tujuan dan perbuatan. Pemuda al-Kahfi memilih untuk beriman dan mereka cuba laksanakan perubahan dan akhirnya berserah kepada  Allah untuk menentukan kesudahan. Justeru itu, perlu kita fokus dalam buat pilihan dengan berhenti beralasan, sebaliknya ada plan tambahan untuk perlaksanaan jika berlaku gangguan atau kekurangan.



2.   Pergantungan kepada Allah punca diberi hidayah



Apa yang manusia rasa baik belum tentu sebenarnya ia baik pada diri mereka. Begitu sebaliknya. Hakikatnya Allah s.w.t  sahaja yang Maha Mengetahui segalanya. Berhenti beralasan dan terus membuat pilihan sebagai langkah pertama perubahan namun mesti terikat dalam kerangka yang Allah redha. Selalu mahasiswa hanya bertawakkal dalam bab perkahwinan, peperiksaan dan apa yang dekat dan memberi manfaat masa pendek kita sahaja, tetapi meninggalkan aspek yang lebih penting iaitu keimanan.

Ya! Kita telah beriman tetapi belum tentu iman kita sempurna.
ya! Kita telah beriman tetapi belum tentu kita mati dalam keadaan demikian.

Jika setiap perbuatan kita bersandarkan kepada Allah tambahan pula dalam bab yang baik dengan niat ikhlas membantu agama Allah, dengan izinNya segala gerak kerja kita terlaksana di bawah naungan Allah. Lihat ketika peperangan Badar. Saat baginda s.a.w dan para sahabat buat pertama kalinya akan menentang musuh dalam pertempuran yang besar sudah tentu ada secubit rasa gelisah dalam hati. Namun, dengan doa yang berterusan dan keyakinan yang kuat dengan janji Allah akhirnya mereka berjaya.

Iman dan hidayah mempunyai kaitan yang cukup kuat dan rapat. Orang yang beriman tidak mesti dia mendapat hidayah terus di atas kebenaran. Sebab itu, hari ini kita melihat ramai orang mengaku beriman tetapi belum tentu kehidupan sehariannya berpandukan keimanan yang jelas. Tetapi orang yang diberi hidayah dengan izin Allah, akan sentiasa menjaga keimanannya seperti mana contoh kebanyakan mereka yang baru kembali kepada fitrah islam (muallaf) yang sangat bersungguh dalam memahami agama bahkan yang paling aktif menyebarkannya.



3.     Membulatkan tekad setelah jantung hati terikat



Was-was adalah permainan syaitan. Dalam hal dunia sahaja manusia bisa ragu-ragu tambahan dalam bab aqidah dan ibadah serta perihal yang ghaib berkaitan dosa dan pahala. Sebab itu, kita lihat generasi hari ini rosak disebabkan sikap ragu terhadap kebenaran yang dijanjikan Allah sama ada dalam bentuk ganjaran atau peringatan dengan azab seksaan.

Demikian, jika kita membuat pilihan yang menepati syara’ dengan keazaman yang tinggi dan matlamat yang jelas serta menaruh harapan sepenuhnya usaha kita kepada Allah, nescaya Dia akan berikan kepada kita petunjuk dan naunganNya disamping membulatkan tekad kita untuk menyempurnakan amalan kita hingga balik bertemuNya.

Pembulatan tekad setelah iman mengisi jiwa, hidayah memandu langkah manusia merupakan perkara yang sangat penting kerana belum tentu orang yang beriman dan mendapat hidayah itu Allah ikat hati-hati mereka untuk bukan sahaja melakukan kebaikan bahkan menyebarkan kerana ayat al-Quran [18: 19-20] selepas itu menjelaskan bahawa mereka bangkit untuk menegakkan kalimah Allah (kebenaran) tanpa rasa ragu dan gentar.

Tambahan lagi, yang paling utama dengan pilihan kita itu, moga-moga Allah bimbing kita untuk merasai  nikmat kejayaan Islam seperti yang telah dijanjikanNya sebagaimana yang ditunjukkan kepada pemuda Al-Kahfi setelah sekian lama ditidurkan. Atau lebih baik, Allah kurniakan kepada kita nikmat tegolongan dalam golongan yang membantu agamaNya menjadi pemuda al-Kahfi untuk abad ini.



Kesimpulan: Jauhi Kelalaian yang melenakan

Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni ada menyebutkan beberapa halangan yang menyebabkan remaja terutamanya sukar untuk melakukan perubahan. Antaranya:

Mengetepikan orang yang berilmu dalam kalangan ulama’ khususnya atau golongan professional dengan lebih mengagungkan idola-idola yang melalaikan.
Menjauhi tempat pengajian dan masjid serta lebih utamakan hiburan
Berlebihan dalam bermain dan terlalu teruja meminati sukan
Suka berteriak dan saling mencela serta bertutur dengan bahasa kasar
Menjadi supporter fanatic dan mudah terpengaruh


Ayuh para pemuda kita muhasabah semula.Memang muda hanya sekali.Begitu juga mati. Bahkan mati tidak kenal usia atau keadaan bersedia, ia datang bila-bila masa. Selain itu, generasi akan datang juga dicorakkan oleh pemuda. Baik pemudanya baiklah generasi seterusnya.

Mulakan langkah perubahan!


0 Komen :

Doa Yang Mustajab Datang Dari Hati Yang Tidak Berhijab


Dalam kehidupan, sebagai seorang insan semestinya ada banyak perkara yang kita hajatkan. Menariknya adalah apa yang kita hajatkan sudah tentu berbeza mengikut suasana dan apa yang diperlukan oleh setiap manusia, tetapi kita sebagai muslim masih lagi memohon pada zat yang sama. Itu menunjukkan betapa Dialah  yang maha kaya yang mampu memberikan segalanya kepada manusia mengikut percaturan-Nya.

Manusia mungkin tersilap penilitian. Banyak dalam kalangan kita tersalah sangka dalam pada ingin memohon sesuatu kepada Yang Maha Esa, kita sering mencari teks-teks doa, menunggu waktu-waktu tertentu atau menziarahi tempat-tempat yang berkaitan dengan harapan hajat-hajat ditunaikan. Bukan beerti salah berbuat demikian, namun pada hemat saya, ada suatu perkara yang perlu lebih ditekankan sebelum perbuatan itu kita lakukan. Apakah ia?

Doa

Dalam satu hadis yang direkodkan oleh Abu Abdullah Al-Hakim dalam Kitab Mustadrak Al-Hakim, ada perkara yang boleh kita ambil dari sudut perlaksanaan doa ketika kita ingin memohon diperkenankan hajat kepada-Nya. Hadis ini biasa di sebut oleh nabi ketika mana baginda ditimpa musibah. Baginda s.a.w bersabda:

اللّهُمَّ إنِي عَبْدُكَ, وَابْنُ عَبْدِك, وَابْنُ أَمَتِكَ, نَاصِيَتِي فِي يَدِكَ, مَاضٍ فِي حُكْمُكَ, عَدْلٌ فِي قَضَاؤُكَ, أَسْأَلُكَ بِكُلِّ إِسْمٍ سَمَّيتَ بِهِ نَفْسَك, أو أَنزَلتَهُ في كِتَابِك, أو عَلَّمتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلقِكَ, أو اسْتَأثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الغَيبِ عِنْدَك, أَن تَجْعَلَ القُرْأَنَ رَبِيعَ قَلبِي, وَ نُورَ صَدْرِي, وَجِلَاءَ حُزْنِي, وَ ذَهَابَ هَمِّي
Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hambaMUu, anak kepada hamba lelakiMu, dan anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tangan-Mu, berlalulah penentuanMu terhadapku, hukumanMu ke atas ku adalah adil, aku bermohon kepadaMu dengan keberkatan setiap namaMu yang Engkau namakanya pada diri sendiri, atau yang Engkau turunkan dalam KitabMu, atau yang Engkau ajarkan kepada mana-mana dari penciptaanMu, atau Engkau pendamkan dalam pengetahuan ghaib di sisiMu, agar Engkau jadikan Al-Quran sebagai peneduh jiwaku, cahaya dalam dadaku, serta penghilang kesedihan dan dukacitaku. 
[Mustadrak Al-Hakim no.1869]

# hadis ini juga turut dirawayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, tetapi dari sanad(periwayatan) yang dhaif seperti yang disebutkan oleh Dar-AlQutni kerana terdapat seorang perawi yang tidak dikenali iaitu Abu Salamah.#

Pencerahan Hadis

Berdasarkan kepada hadis tersebut dapat kita lihat bahawa ketikamana baginda bermunajat kepada Allah sewaktu ditimpa kesusahan, baginda memulakan doa dengan merendahkan diri dengan merasai diri tidak mampu berbuat apa-apa sebagai hamba melainkan dengan bantuan-Nya. Bahkan turut menggelarkan diri sebagai anak yang datang dari dua hamba iaitu ibu dan bapa yang mana kita tahu proses kejadiannya bermula dari perkara yang hina pada tanggapan manusia.

Begitu sebenarnya permulaan doa bagi setiap manusia. Paling penting dalam berdoa adalah kerendahan hati seseorang itu terhadap yang dia minta. Tambahan maksud doa itu sendiri adalah pengharapan dari yang rendah kepada yang lebih tinggi darjatnya di samping mempunyai tujuan yang satu iaitu merasai takut yang membawa kepatuhan pada Allah semata-mata yang tanpa ada berbelah bagi kepada sesiapapun jua.

Jika seorang insan itu hanya mencari teks-teks doa yang diyakini berkesan maka kadang-kadang proses itu memakan masa dan mungkin setelah ia dijumpai perlu pula dihafal dan diingati untuk diamal dalam kehidupan sehari-hari.

Jika seseorang itu hanya mencari waktu-waktu tertentu pula, maka mungkin agak sukar itu dia menunggu kepada waktu yang disebutkan sebagai waktu yang mustajab. Begitu pula, jika mencari tempat-tempat yang mustajab, boleh jadi dia perlu mengorbankan tenaga hatta kewangan juga demi untuk menziarahi tempat-tempat tersebut.

Namun, kelebihan bagi mereka yang mendapatkan hati yang mustajab dengan merendahkan diri di hadapan Yang Esa, maka tidak kiralah apapun yang dia baca (yang mengikut syara’), pada ketikamana pun dia berdoa, atau dimana-mana sahaja dilafazkan doa, maka dia akan dapati bahawa doanya sebenarnya telah dimakbulkan oleh-Nya.

Oleh yang demikian, seperti yang saya terangkan diatas bukan salah kita mencari apa-apa bahan bacaan bahkan jika kita mampu maka doa-doa yang ma’thur(berdasarkan hadis-hadis sahih daripada nabi s.a.w) lebih utama untuk kita baca, atau mencari waktu dan tempat mustajab, tetapi hati yang mustajab itu membuka seluasnya ruang kepada manusia dalam rangka berdoa mengharap kepada-Nya.

Mustajab Doa

Suatu perkara yang perlu dijernihkan semula berkenaan mustajabnya doa ini adalah manusia seringkali beranggapan jika makbul(diterima) doa yang dia pinta, maka sesungguhnya doanya mustajab. Tetapi jika sebaliknya, ada manusia yang masih tidak putus-putus berdoa dan ia amatlah baik, namun tidak kurang juga bertindak mengatakan bahawa Allah tidak mengasihi dirinya, tidak adil kerana memberi nikmat kepada mereka yang lain dan sebagainya.

Suatu perkara kita kena ingat adalah mustajabnya doa kita adalah mengikut susunan Allah kerana Dia lebih tahu apa yang baik dan apa yang buruk bagi diri kita. Allah berfirman:
“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” 
[Quran 2:216 (Al-Baqarah)]

 Segala penyusunan yang manusia buat meski dia anggap yang terbaik untuk dirinya, namun pengetahuan Allah lebih luas dalam segala perkara terutama yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Oleh itu, kadang-kadang Allah beri apa yang kita tidak pinta dan boleh jadi tidak kita suka namun ia amatlah baik buat diri kita.

Tambahan lagi, jika Allah tangguhkan permintaan kita, sebenarnya Dia ingin kita berterusan meminta kepada-Nya kerana amat menyukai rintihan yang menggambarkan kerendahan hati pada-Nya. Mungkin juga jika Allah makbulkan permintaan kita secara serta-merta kita akan mudah lupa pada-Nya terutama selepas mendapat nikmat. Maka di sini sebenarnya terselit kasih sayang-Nya kepada kita dengan tidak mahu kita berjauhan dengan-Nya.

Selain itu, jika teliti semula, bermula daripada kita dilahirkan hingga apa yang kita ada sekarang telah banyak berlalu nikmat-Nya kepada kita. Bahkan tidak terdaya untuk kita mengekspresiasi rasa syukur atas segala nikmat tersebut. Adapun, ia tidaklah menghalang kita untuk meminta dan terus meminta kerana sesungguhnya Dia Maha Kaya.

Dari sudut yang lain perlu juga kita bermuhasabah diri semula kerana kadang-kadang doa seseorang terhijab dek dosa yang dilakukan. Kita patut rasa malu dengan Allah. Walaupun permintaan khusus kita kemungkinan ditangguhkan, tetapi nikmat yang ada pada kita yang kita dapat tidak pernah terhenti hari demi hari bahkan semakin bertambah. Justeru, selalu bertanya kepada diri kita satu soalan:

Sebelum menangisi doa kita yg tidak termustajab, cuba bertanya dosa kita apa yang mungkin sebab doa terhijab?

Puji-Pujian

Surat rasmi yang hendak dihantar kepada tokoh-tokoh atau syarikat-syarikat koprat biasanya didahulukan dengan pujian atau membesarkan kedudukan pihak penerima selayaknya. Lebih-lebih lagilah apabila kita hendak menghantar ‘surat’ kepada Tuan bagi segala makhluk, maka seharusnya kita memuji-mujiNya kerana Dialah yang paling berhak atas segala pujian. Justeru, pujian ini juga menjadi salah satu adab kita memulakan doa.

Adapun suatu perkara yang perlu kita ambil perhatian, jika kita memuji manusia lazimnya dengan pujian tersebut manusia lebih cenderung untuk memberikan apa yang dia punyai. Namun, Allah tidak begitu kerana kerajaan-Nya sedia hebat. Jika tiada satu makhlukpun yang memuji-Nya maka Allah tetap hebat dan Allah dengan sifat Pemurah dan Pengasihnya masih akan memberikan manusia nikmat-nikmat-Nya.

Demikian, kita melihat dalam hadis ini memuji keadilan, keagungan Allah s.w.t dengan tujuan menampakkan kebesaran Allah kepada manusia yang lemah. Di samping itu, kita juga digalakkan untuk kita memohon doa menggunakan nama-nama yang telah Dia namakan diriNya seperti Al-Ghafur, Ar-rahim, Al-Aziz dan sebagainya.

Kesimpulan: Bertanya pada diri?

Manusia itu fitrahnya lemah sebab itu kita dikurnia senjata doa untuk memohon kekuatan.

Manusia itu lumrahnya faqir tetapi menjadi ‘kaya’ dengan memohon dengan yang Paling Kaya.

Oleh itu, amat rugilah bagi manusia yang meninggalkan senjata yang ampuh ini kerana kesombongan dirinya terhadap Allah tuan empunya diri

0 Komen :