Pembomohan Tanda Putus Asa Dengan Tuhan


Baru-baru ini Malaysia bagaikan artis popular seketika. Bukan sekadar  disebabkan isu kehilangan pesawat MH 370 sahaja, tapi pengamalan yang tidak berlandaskan syara’ (pembomohan) juga mendapat liputan media secara meluas bahkan ini lebih memalukan kerana kebanyakan media membuat liputan terhadap peristiwa ini dalam nada sarcasm dek kerana Malaysia adalah negara Islam tetapi tidak membenarkan pegangan tersebut dalam setiap urusannya.

Aktiviti pembomohan atau mempercayai dukun ini adalah terlarang sebagai mana yang disebutkan oleh baginda s.a.w:
“Barangsiapa yang mendatangi dukun lalu dia bertanya kepadanya tentang suatu hal, maka shalatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.” (HR. Muslim no. 2230)[i]



Dalam hadis yang lain baginda s.a.w menyebutkan:
“Barangsiapa yang mendatangi dukun atau peramal kemudian membenarkan apa yang dia katakan, atau mendatangi isterinya dalam keadaan haid atau dari arah belakang (dubur) maka dia telah kafir terhadap apa (Al-Qur`an) yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w.” (Hadis sahih dalam kitab Sahih al-Jami’ oleh al-Bani)[ii]
Larangan-larangan dalam dua hadis ini ditambah dengan disebutkan akibat terhadap mengamalkannya menjadi sebab perbuatan ini ditolak. Justeru itu pengamalan ini perlulah dijauhi dalam segenap lapisan masyarakat supaya ia tidak dianggap biasa meskipun ia diwarisi oleh orang-orang yang terdahulu sebelum kita.

Dalam kes yang berlaku di tanah air kita, kes ini menjadi lebih berat kerana bukan sekadar cara yang bercanggah dengan syara’ bahkan menjadi fitnah terhadap islam itu sendiri. Masyarakat bukan muslim diluar negara hatta dalam negara sendiri akan memandang sinis kerana beranggapan ia bukan cara yang betul bahkan menampak islam itu lemah. Justeru, fitnah ini lebih besar kerana ia menjauhkan ramai manusia dari cahaya hidayah.

Selain itu, kalimah Allah yang digunakan boleh mengelirukan hatta kepada orang islam sendiri jika ia tidak berlandaskan kaedah yang betul, bahkan lafaz yang agung itu seolah menjadi permainan dan hilang kehebatannya. Lebih binasa apabila orang bukan islam terfitnah dengan kalimah tersebut kerana digunakan dalam situasi (ritual) yang bercanggahan dengan kebenaran Islam itu sendiri.



Beza jampi serapah dan ruqyah syar’iyah

Kata Imam Hassan Al-Banna[iii]:

Tangkal, azimat, al-wad’ (sesuatu yang diambil dari laut seperti kulit kerang),al-raml (pasir atau bahan jampian), al-ma’rifah (mengetahui sesuatu perkara dengan tanda-tanda awal), kihanah (pemberitahuan tentang perkara-perkara ghaib pada masa akan datang) dan dakwaan mengetahui perkara ghaib dan perkara-perkara yang tergolong di dalam perkara ini merupakan perkara mungkar yang wajib diperangi melainkan jampi-jampi dari ayat Al-Quran atau jampi yang datang dari baginda s.a.w.



Kemungkinan ramai yang terkeliru akan perbezaan jampi serapah dan juga ruqyah syar’iyah (yang berlandaskan syara’) kerana kadang-kadang jampi-jampi ini juga menggunakan ayat-ayat al-quran. Justeru itu, ulama’ meletakkan kaedah asas bagi jampi itu adalah mempunyai sandaran daripada al-Quran dan hadis yang sahih di samping perlulah dibaca dalam bacaan yang jelas bukan sekadar kumat-kamit di bibir.

Selain itu, ia juga bukanlah jampi yang menggunakan bahan-bahan jampian seperti kemenyan dan sebagainya atau alat-alat tertentu seperti tangkal dan lain-lain kecuali air kerana ia terdapat dalam hadis bahawa nabi s.a.w pernah berbuat demikian. Ia juga bukanlah pemberitahuan tentang sesuatu yang ghaib atau ramalan tentang peristiwa akan datang. Sedangkan baginda s.a.w sendiri tidak mengetahui sesuatu yang ghaib kecuali yang dikhabarkan kepada baginda. Allah s.w.t berfirman:

Katakanlah (Muhammad s.a.w)  Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati). [An-Naml: 65]



Hidup soal percaya

Kehidupan ini soal percaya. Sebagaimana perhubungan antara rakan-rakan, perhubungan antara suami dan isteri, perhubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat menuntut kepercayaan daripada semua pihak, lebih lagi perkara yang melibatkan seorang hamba dan tuhannya kerana Allah lebih mengetahui apa yang hamba-Nya perlukan dan terbaik untuk kita dan tidak pernah menzalimi sesiapa.

Dalam hadis qudsi, Allah s.w.t menyebutkan melalui kalam baginda s.a.w daripada Sahl bin Saad[iv]:

Aku dalam sangkaan hamba-Ku terhadap Aku sama ada sangkaan yang baik atau buruk. [Sahih Ibn Hibban]
Kehidupan yang tidak lari daripada ujian ini menuntut kepercayaan total terhadap Allah s.w.t. Jika kita beranggapan ujian yang datang sebagai suatu bentuk bebanan hingga kita bersangka buruk kepada Allah, maka kita sendiri yang rugi walhal tiada kekurangan bagi kerajaan Allah. Oleh itu , senantiasalah meluruskan sangkaan kita terhadap Allah s.w.t kerana manfaatnya adalah kepada kita.

Selain itu, Dia juga telah menghamparkan kepada manusia segala bentuk kenikmatan dan cara untuk kita melepasi segala ujian. Jika manusia itu, tidak menjumpainya tidak lain dan tidak bukan Dia berkehendakkan agar setiap insan itu kembali mengingatinya kerana apa jua langkah yang adalah hanyalah penyebab tetapi Allah s.w.t yang mengizinkannya.

Justeru itu, jika seseorang itu mencari penyelesaian selain kembali kepada Allah s.w.t, setelah berusaha dengan sebab-sebab yang ada tidakkah ia menunjukkan putus asa dia dengan Allah?

Seseolah ada jalan lain lebih baik daripada mengharap kepada Allah?
Atau lebih bahaya seakan mempercayai ada kuasa yang lebih hebat dari-Nya?

Bahkan tidak ada sesuatupun yang bisa menyamainya. Dengan sebab itu, mereka yang meletakkan setinggi-tinggi pengharapan dan kepercayaan kepada Allah tanpa menafikan usaha adalah mereka yang menuju jalan kejayaan kerana manusia itu sampai kepada suatu tahap maka kudratnya tidak mampu untuk berbuat apa-apa.



Kesimpulan: Malu?

Tidak dinafikan perbuatan ini memalukan ramai pihak dan memberi impak negatif bagi orang bukan Islam terhadap keaslian Islam itu sendiri dalam rangka mereka ingin mengenal islam. Justeru, pihak berwajib perlu segera dalam menangani isu ini.

Cuma perlu juga kita sama-sama koreksi diri kita. Kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang berkaitan adalah tetap salah dan perlu dibaiki. Bagusnya kesalahan itu nampak secara zahir dan bisa dicegah. Tetapi kesalahan diri kita sendiri kadang-kadang menyebabkan orang lain memandang Islam itu sebagai mundur  dengan tidak bersungguh dalam ibadah, tidak menjaga akhlak dan tingkah laku kita yang juga menyebabkan Islam itu difitnah pula bagaimana?

Perbaiki diri dan seru orang lain!


0 Komen :

Catat Ulasan

Cancel Reply